Monday, December 1, 2014

Arnab Angora - Diternak Kerana Bulu 

Sekali pandang nampak macam gula - gula kapas. Gebu. Itulah arnab Angora. Apalah makanan diberi hingga hingga jadi begitu sekali. Tapi ternyata, spesies ini memang wujud dan berasal dari Angkara, Turki. Menurut rekod, arnab Angora sangat popular sekitar abad ke-18 dan menjadi haiwan kesayangan keluarga diraja. Kemudian, barulah ia tersebar ke serata Eropah sebelum masuk ke Amerika Syarikat sekitar abad ke-20. Sama seperti haiwan lain, arnab Angora terbahagi kepada beberapa baka tersendiri.Empat jenis baka diletakkan di bawah Persatuan Baka Arnab Amerika (ARBA). Antaranya baka English, French, Giant, & Satin. Selebihnya adalah baka German, Chinese, Swiss, Finnish, Korea & St. Lucian. Arnab Angora juga dipercayai spesies arnab tertua di dunia.







Cara penjagaannya juga mudah. Mereka tidak memerlukan sebarang vaksin tambahan & juga tidak memerlukan makanan yang mahal. Hanya diberi rumput sudah memadai. Bagaimanapun, anda perlu menjaga bulunya dengan baik, & cermat supaya kelihatan kemas, bersih & terjaga rapi. Untuk mengelakkan bulunya tampak kusut, kerinting atau bergumpal, pemilik selalunya akan menyikat bulu arnab tersebut 2 minggu sekali. Dengan menggunakan berus gigi biasa atau berus khas, bulu - bulu arnab akan kelihatan lebih bersinar jika kerap didandan.




Arnab Angora bukan diternak sebagai haiwan peliharaan, ia juga diternak kerana bulunya. Bagi industri pembuatan pakaian, bulu arnab Angora dikategorikan sangat lembut & bersinar seakan-akan sutera. Dari segi diameternya, ia dikatakan 0.0011cm lebih halus dari bulu kambing Kashmir. Selalunya, bulu mereka akan dicukur 4 bulan sekali. Apabila musim tersebut, arnab akan menunjukkan tanda-tanda bulu matang. Antaranya bulu gugur, mudah tercabut apabila disikat & arnab akan termakan bulunya sendiri. Ketika itu, proses mencukur perlu dilakukan segera. Biasanya, proses ini dilakukan dengan mencabut, mencukur atau menyikat dengan alatan khas. Kemudian, bulu-bulu tersebut akan diletakkan di tempat khas & disusun selari bagi mengelakkan ia berada dlm keadaan kusut. Jika berselerak, kualitinya berkurangan.



Jika anda gagal menguruskan bulunya dengan baik,  serta membiarkan bulu-bulunya gugur tanpa pembersihan, berkemungkinan besar arnab ini akan mati. Sama seperti kucing, arnab sangat gemar menjilat bulunya sendiri. Bagaimanapun, apabila tiba proses mengutip bulu, mereka secara tidak sengaja akan menelan mana-mana bulu yg gugur. Berbeza dgn kucing, mereka boleh memuntahkan kembali. Tetapi tidak bagi arnab Angora kerana mereka menelan sedikit demi sedikit. Apabila bulu sudah memenuhi perut, mereka akan menjadi kenyang sepanjang masa & tidak lagi menjamah makanan mahupun minuman.Ini kerana bulu yg masuk ke dalam perut tidak akan hadam sama sekali. Maka secara tidak langsung, ia akan menyumbat saluran usus & menggangu kesihatan arnab dan akhirnya mati.

Sumber

No comments:

Post a Comment