Sama
ada cuti sekolah atau hujung minggu, Malaysia menawarkan pelbagai
tempat menarik untuk anda beraktiviti atau bersantai sekeluarga.
Lihatlah senarai 10 tempat percutian sekeluarga pilihan kami bagi
tahun 2014 ini.
Taman
Tema: Lost World of Tambun, Ipoh, Perak.
Lost
World of Tambun membawa kelainan berbanding taman tema lain di
Malaysia. Taman airnya pelbagai, termasuk Adventure River, Cliff
Racer serta Kids Exploratory untuk kanak-kanak. Kawasan berpasir
pantai dan Wave Pool juga disediakan. Bagi pencinta haiwan, lawati
Petting Zoo untuk membelai haiwan-haiwan di dalamnya dan Tiger
Valley. Cabar diri dengan Leap of Faith – terjunan 65 kaki dari
paras laut, rock climbing, kayak dan pelbagai lagi aktiviti lasak.
Setelah penat, belai diri di Hot Spring & Spa atau rehat saja di
bilik Hotel Lost World. Semua ini berada di Sunway City, Bandar Ipoh.
Pulau:
Pulau Langkawi, Kedah.
Dalam
mana-mana senarai teratas tempat percutian di Malaysia, Pulau
Langkawi sentiasa mendapat tempat. Tumpuan pelancong termasuk Cable
Car Langkawi, Langkawi Oriental Village, Kota Mahsuri, Galeria
Perdana, Underwater World Langkawi, Langkawi Wildlife Park, Taman
Buaya, Kilim Geoforest Park dan Laman Padi. Bila ke Langkawi, ambil
peluang membeli belah pada harga yang rendah kerana tiada cukai
dikenakan jika anda menetap sekurang-kurangnya 4 hari.
Pantai:
Pulau Perhentian, Terengganu.
Jika
lebih suka bersantai di pantai dan laut, Pulau Perhentian tempat
terbaik. Ia terkenal dengan pantainya yang bersih berpasir putih dan
air yang sangat jernih. Perhentian Besar menempatkan penginapan yang
lebih mahal berbanding Perhentian Kecil, namun keduanya sama cantik
dan menarik. Pengunjung juga boleh bertukar-tukar tempat bersantai
antara kedua pulau dengan teksi air. Aktiviti popular di sini
termasuk meredah hutan, melawat program pemeliharaan penyu, berkemah,
berkayak dan menyelam.
Tanah
Tinggi: Cameron Highlands, Pahang
Bagi
mereka yang gemarkan kehijauan dan hasil ladang segar, pilihlah
percutian tanah tinggi Cameron Highlands. Tenangkan fikiran dengan
keindahan ladang teh sambil menikmati teh pelbagai perisa. Tarikan
lain termasuk ladang sayur-sayuran dan strawberi, ladang bunga,
ladang lebah, muzium serta pasar sayur-sayuran dan buah-buahan segar
di Kea Farm atau sepanjang jalan utama dari Ringlet ke Kampung Raja.
Kunjungi juga pasar malam Sabtu di Brinchang yang menjadi pusat
jualan semua hasil ladang sambil menikmati makanan tempatan. Untuk
aktiviti lasak, anda boleh meredah hutan, mendaki gunung dan juga
berkemah.
Alam Sekitar: Taman Negara, Pahang-Kelantan-Terengganu.
Terdapat
lebih daripada 30 tempat untuk anda beraktiviti bersama flora dan
fauna di sini, bermula dengan canopy walk sepanjang 510m dan 45m dari
aras tanah, melawat serta bermalam di mana-mana gua pilihan bersama
penghuninya, mencabar daya tahan diri dengan meredah hutan siang
ataupun malam hingga kepada memancing atau bersantai dengan pelayaran
bot di sungai. Penginapan juga disediakan pada kadar yang berpatutan.
Santai
Tempatan: Taiping, Perak.
Tiga
tarikan utama di sini. Zoo Taiping terkenal dengan penempatan dan
penjagaan haiwan yang terbaik serta Night Safari. Muzium Perak pula
merupakan muzium tertua di Malaysia. Koleksinya melangkaui bahan
bersejarah dan merangkumi koleksi haiwan. Taman Paya Bakau Matang
yang berusia lebih 110 tahun pula menjadi tumpuan pencinta alam
kerana kepelbagaian spesis tumbuhannya. Taiping juga terkenal dengan
senibina lama serta menempatkan Lake Garden seluas 62 hektar, legasi
yang di tinggalkan oleh penjajah British. Sebelum pulang, nikmati
cendol Bismillah yang popular kerana lawatan ke Taiping tidak akan
sempurna tanpanya.
Bandar Bersejarah: Georgetown, Pulau Pinang.
Ia
merupakan bandar pelancongan yang pesat membangun tetapi masih
mengekalkan bangunan lama. Tarikan disini termasuk Muzium Perang,
Masjid Kapitan Keling, Tokong Ular, Fort Cornwallis, Pasar Chowrasta,
Street Art, Pantai Batu Ferenggi, Padang Kota Lama dan Rumah P.
Ramlee. Namun, aktiviti paling menarik adalah bersantai di tengah
Bandar Georgetown sambil menikmati makanan yang pelbagai dan suasana
persekitaran yang berbeza, seolah-olah berada dalam ruang masa yang
lain. Singgahlah di Restoran Line Clear yang sangat popular apabila
berada di sana.
Bandar
Alam Semulajadi: Kota Kinabalu, Sabah
Terlalu
banyak tempat menarik di Sabah, namun Kota Kinabalu sendiri sudah
cukup tarikan dan aktiviti yang boleh dilakukan. Antaranya Taman
Marin Tunku Abdul Rahman untuk aktiviti pantai serta menyelam dan
Taman Kinabalu yang menempatkan kolam air panas dan canopy walk,
pelbagai spesis flora dan fauna yang pelik lagi menarik dan
sayur-sayuran serta buah-buahan sergar dari ladang. Singgahlah di
Pasar Filipina untuk pelbagai hasil laut, sama ada yang kering atau
yang dimasak.
Warisan
Dunia: Miri, Sarawak
Jika
berminat dengan sejarah dan arkeologi, Miri sedia untuk diterokai.
Taman Negara Gunung Mulu diiktiraf sebagai ‘Warisan Dunia’ oleh
UNESCO manakala Taman Negara Niah pula merupakan kawasan penempatan
manusia lebih 40,000 tahun dahulu. Aktiviti lain termasuk menyelam di
Miri-Sibuti Coral Reef National Park, merasai lumpur gunung berapi di
Kampung Meritam, berkenalan dengan pelbagai suku kaum Sarawak di
pekan bazaar Marudi, bersantai di pusat rekereasi tertua Miri –
Pantai Tanjung Lobang dan menikmati hidangan laut segar di pusat
juadah Taman Selera.
Bandaraya:
Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Banyak
tempat yang boleh dilawati di Bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Antara lain Petrosains, Aquaria, Taman Tema Cosmo, KL Tower, Pusat
Sains Nasional, Taman Burung, Taman Tasik, Planetarium dan Muzium
TUDM di Kuala Lumpur. Lanskap bandaraya Putrajaya pula cukup
mengagumkan ditambah dengan tarikan seperti Taman Wetland, Tasik
Putrajaya berserta pelayaran, Taman Warisan Pertanian, Taman
Equestrian, Challenge Park dan pusat membeli belah Alamanda.
No comments:
Post a Comment